Saturday, January 16, 2021

KUDA KEPANG

 


PENGENALAN

       Setiap negara di dunia mempunyai tarian tradisional mereka sendiri. Tarian tradisional ini menjadi satu simbol untuk menunjukkan lambang kebudayaan serta identiti sesebuah masyarakat di negara mereka begitu juga dengan Malaysia. Di Malaysia, terdapat pelbagai tarian tradisional yang menjadi simbolik warisan negara yang tidak ternilai seperti tarian Ulek Mayang yang menjadi tarian tradisional masyarakat di Terengganu.

       Kuda kepang merupakan sebuah tarian tradisional yang popular di negeri Johor. Tarian tradisional ini bukanlah asing lagi bagi masyarakat negeri Johor kerana merupakan lambang kebudayaan negeri Johor. Kuda kepang turut dikenali sebagai Kuda Lumping, Jaran Kepang atau Jathilan. Kuda kepang diasaskan oleh salah seorang daripada Wali Songo iaitu sembilan wali yang termasyur di Tanah Jawa pada abad ke-15. Tarian kuda kepang ini dikatakan dicipta untuk menarik masyarakat Jawa pada zaman dahulu untuk mengenali tentang Islam dan juga menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat Jawa. Penghijrahan masyarakat Jawa ke Tanah Melayu menyebabkan masyarakat Melayu mengenali kuda kepang terutmanya bagi masyarakat Melayu berketurunan Jawa di Johor yang dipengaruhi dengan tarian ini sehingga kini.

        Anyaman kuda kepang diperbuat daripada buluh ataupun kulit haiwan. Untuk menjadikan kuda kepang lebih menarik, anyaman kuda kepang diwarnai dengan warna-warna yang menarik. Selain itu, tarian Kuda Kepang merupakan tarian yang biasanya dilakukan pada majlis perkahwinan dan kenduri. Ia juga termasuk dalam perayaan besar di Johor seperti festival Kerajaan Johor, pertunjukan budaya dan perayaan ulang tahun Sultan Johor.

        Namun, tarian kuda kepang ini banyak dipengaruhi oleh kuasa mistik. Hal ini kerana persembahan kuda kepang ini memerlukan pemujaan dan tarian ini akan membuatkan penari dan juga penonton berkelakuan aneh dan naik ‘syeikh’ atau mabuk mengikut alunan muzik tersebut. Hal ini menyebabkan tarian kuda kepang mistik diharamkan di Johor seperti kumpulan Warisan Seni Sri Johor yang ditubuhkan pada awal tahun 1970-an oleh Allahyarham Sabtu Hamid yang pernah dipanggil Jabatan Agama Islam Johor untuk membincangkan tentang kuda kepang tradisi perlu diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur mistik dan juga khurafat. Tarian ini juga semakin dilupakan oleh generasi muda kerana terpengaruh dengan tarian moden yang lebih menarik dan mengikut trend masa kini.

SEJARAH KUDA KEPANG

       Kuda kepang diasaskan oleh salah seorang daripada Wali Songo iaitu sembilan wali yang termasyur di Tanah Jawa yang bernama Sunan Kali Jaga. Penciptaan kuda kepang ini bertujuan untuk mengembangkan dakwah Islam pada abad ke-15. Pada waktu itu, wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati masyarakat di pedalaman kerana mereka akan berlari bertaburan apabila melihat Wali Songo. Penciptaan kuda kepang ini terjadi untuk menarik minat orang kampung untuk melihat tarian tersebut. Kuda-kuda tersebut diperbuat daripada kulit binatang atau buluh untuk menggantikan kuda sebenar Hal ini menarik minat mereka kerana mereka tidak pernah terdedah dengan sebarang bentuk hiburan menyebabkan mereka datang untuk melihat persembahan tersebut. Wali Songo menggunakan taktik ini untuk menerangkan mengenai Islam dan mengajar penduduk di pedalaman tentang Islam dengan lebih jelas. Kesempatan yang digunakan itu membuahkan hasil apabila ramai penduduk yang memeluk Islam.

        Selain itu, ada juga yang berpendapat bahawa asal-usul tarian ini berkait dengan Saidina Ali. Tarian ini dikatakan diilhamkan daripada kisah peperangan askar berkuda Saidina Ali di Tanah Arab. Tentera Saidina Ali yang bertempur dengan hebat seperti tidak sedarkan diri semasa berperang sehingga berjaya mengalahkan pihak musuh. Tarian kuda kepang ini dipercayai ditiru daripada gerak langkah bala tentera Saidina Ali. Maka, lahirlah tarian kuda kepang yang diinspirasikan daripada gerakan bala tentera Saidina Ali.

        Seterusnya, ada juga yang turut mempercayai bahawa asal-usul kuda kepang ini berasal daripada alam kayangan dimana kuda kayangan yang bernama kuda Sembrani ini telah turun di Tanah Jawa. Kuda Sembrani ini dipercayai turun ke bumi untuk mencari rakannya yang telah hilang. Setelah kuda Sembrani ini berjaya menemui rakannya, mereka dikatakan menari-nari dan melompat-lompat kegembiraan. Kegirangan mereka telah menarik perhatian masyarakat Jawa pada masa itu. Hal ini menyebabkan tercipta gerak langkah kuda yang di inspirasikan oleh kegembiraan kuda Sembrani dan juga rakannya. Kesannya, terciptalah tarian kuda atau dikenali sebagai kuda kepang.

PERSEDIAAN SEBELUM PERSEMBAHAN TARIAN KUDA KEPANG

       Sebelum memulakan persembahan, penari-penari perlulah mempunyai semangat yang kental untuk menhadapi rintangan dan cabaran semasa persembahan. Setiap penari kuda kepang mestilah menuntut ilmu batin serta perlu menjalani beberapa ujian yang menjadikan penari-penari tersebut mempunyai ketahanan mental yang kuat. Setiap saranan yang diberikan oleh pemimpin mestilah dipatuhi agar tiada kesilapan semasa persembahan.

        Selain itu, persembahan kuda kepang mestilah dilakukan di kawasan yang lapang atau di atas pentas yang luas. Sebelum melakukan persembahan, kawasan persembahan dan juga penonton perlulah dipisahkan dengan menggunakan tali untuk menggelakkan perkara yang tidak diingini. Hal ini kerana dikhuatiri penari-penari akan mengancam keselamatan kepada penonton semasa menari kerana berada dalam keadaan tidak sedar atau naik ‘syeikh’. Kebiasaannya, seorang pawang disediakan untuk mengawal keadaan dan melindungi keselamatan para penonton dan penari jika penari semakin tidak terkawal. Sebuah kumpulan tarian kuda kepang mestilah mempunyai 9 hingga 15 orang penari dan penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja.

PEMBUKAAN GELANGGANG

        Semasa melakukan upacara pembukaan gelanggang, kebiasaannya pawang akan membaca mantera dan membuat upacara pemujaan roh untuk menggelakkan perkara yang tidak diingini berlaku semasa persembahan. Hal aini menyebabkan masyarakat Jawa mempercayai bahawa kuda kepang dipengaruhi oleh kuasa mistik. Pawang juga akan menyediakan sajian untuk dipersembahkan kepada roh. Antara bahan yang disediakan ialah sebiji kelapa, secupak beras, dua sisir pisang masak, sedikit kemenyan, kain putih, jarum, benang, seekor ayam putih, padi, telur dan bunga rampai.

       Seterusnya, gelanggang dibuka oleh pawang dengan membakar kemenyan dan bahan sajian diperasapkan, kemudian beliau membaca mantera menjemput semangat kuda Sembrani untuk datang bersama menjayakan persembahan tersebut. semangat-semangat tersebut dikatakan akan meresap masuk ke dalam jasad para penari ketika sedang melakukan persembahan tarian tersebut. Tarian para penari akan menjadi luar biasa ketika menari. Hal ini kerana pergerakan para penari dikatakan dikawal oleh semangat-semangat tersebut dan penari berada di alam bawah sedar. Pawang dikatakan menjadi perantara di antara para penari dan juga dengan kuasa ghaib. Pawang juga akan memulihkan pemain-pemain daripada keadaan di alam bawah sedar kepada alam sedar. Hanya pawang sahaja mempunyai ilmu untuk memulihkan para penari daripada terus hanyut mengikut rentak irama muzik dan dari terus membahayakan diri mereka semasa berada di alam bawah sedar.

CARA PERMAINAN TARIAN KUDA KEPANG

        Bilangan penari tarian kuda kepang adalah di antara sembilan orang sehingga lima belas orang. Kebiasaannya, penari tarian kuda hanyalah terdiri daripada lelaki sahaja. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Solo, Selendang, Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, mempertahankan diri dan sebagainya. Semasa muzik dimainkan, para penari akan menari sambil memegang kuda kepang dan menari mengikut rentak alunan muzik yang dimainkan. Alat bunyi-bunyian yang digunakan untuk melakukan persembahan tarian kuda kepang ialah, gendang, angklung, gong, kinong, jidor, soron kecil dan bonang. Muzik merupakan satu unsur hiburan dalam persembahan kerana tanpa muzik persembahan ini kurang menarik perhatian penonton kerana tidak mempunyai rentak yang menarik dan tarian menjadi hambar.

        Apabila muzik mula bergema, para penari tarian kuda kepang akan menari dan kemudiannya akan berpecah kepada dua kumpulan kecil dan melakukan gerakan silang. Dikawali oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing. Persembahan dipimpin oleh "danyang" itu untuk masuk ke gelanggang. Para penari yang dikawal oleh semangat-semangat kuda ini berupaya melakukan sesuatu aksi yang aneh atau ganjil yang tidak boleh dilakukan oleh individu normal. Mereka dikatakan berupaya untuk melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi.

       Semasa mula persembahan, rentak muzik yang dimainkan agak perlahan dan membosankan dan para penari akan memainkan tarian tersebut menikut ritma lagu yang dimainkan. Semakin lama alunan muzik akan semakin rancak dan jika muzik tidak rancak, penari-penari akan menggamuk dan menendang pemain muzik seperti kuda yang sedang berang. Alatan muzik akan terus dibunyikan ketika pemain dirasuk. Namun apabila pergerakan para penari semakin liar dan tidak dapat dikawal, mereka akan ditangkap dan direbahkan ke tanah. Penari-penari yang dirasuk ini akan disedarkan semula oleh seorang pawang dan dibawa semula ke alam sedar dan kembali normal. Jika penari yang dirasuk itu sukar untuk dipulihkan maka mereka akan disebat dengan menggunakan cemeti berulang kali sehingga mereka kembali sedar semula. Persembahan tarian kuda kepang yang unik dan indah ini mempunyai tarikan dan aksi-aksi penari yang kerasukan menjadi persembahan ini menarik.

PANTANG LARANG

       Setiap persembahan yang dilakukan mempunyai keunikan mereka tersendiri seperti pantang larang yang perlu dipatuhi. Tarian kuda kepang juga mempunyai pantang larang mereka sendiri yang perlu mereka patuhi.  Pantang larang merupakan satu larangan yang perlu mereka elakkan daripada melakukannya untuk mengelak dari berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi. Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa menjalankan persembahan tarian kuda kepang.

      Antara pantang larang tarian kuda kepang ialah pantang sebelum memulakan persembahan. Sebelum persembahan dilakukan, upacara khas perlu dilakukan memulakan persembahan. Upacara khas ini perlu dilakukan oleh bomoh dengan menyediakan sajian untuk dipersembahkan kepada semangat kuda dan bomoh perlu membaca jampi sebulum membuka gelangang. Upacara ini dilakukan untuk mengelakkan daripada ditimpa musibah kepada penari dan juga penonton semasa persembahan. Hal ini kerana tarian kuda kepang ini dikatakan dipengaruhi oleh semangat ghaib. Upacara khas ini perlu dilakukan setiap kali persembahan sebagai tanda untuk menghormati semangat ghaib tersebut.

       Selain itu, kain berwarna merah merupakan antara salah satu pantang larang semula jadi yang utama di dalam tarian kuda kepang. Pantang larang ini penting kepada para penari kerana apabila mereka melihat kain berwarna merah, mereka akan menjadi baran dan tidak terkawal. Para penari juga tidak dibenarkan melihat kaca atau serpihan kaca. Hal ini kerana dikhuatiri para penari yang sedang naik “syeikh” atau mabuk akan melakukan perkara atau perbuatan yang luar biasa. Mereka dikatakan akan memakan kaca atau serpihan kaca jika terlihat semasa menari. Hal ini akan mendatangkan kecederaan kepada para penari selepas mereka sedar kerana pemikiran mereka berada dalam keadaan tidak sedar semasa melakukan tindakan tersebut.  

       Muzik memainkan peranan yang penting dalam permainan ini. Hal ini kerana para penari akan memainkan tarian mengikut rentak dan irama lagu yang dimainkan. Alunan muzik yang dimainkan mestilah rancak kerana dikhuatiri para pemain kuda kepang akan menjadi berang. Sebagai contoh, para pemain muzik mestilah mendendang alunan yang rancak kepada para penari yang sedang naik ‘syeikh’ kerana jika alunan tersebut tidak rancak para penari akan menjadi berang dan akan menerkam atau menendang para pemain muzik.

        Seterusnya, pantang larang di dalam tarian kuda kepang tidak hanya melibatkan para penari tetapi, terdapat juga pantang larang yang perlu dipatuhi oleh para penonton.  Para penonton tidak dibenarkan mengacah para pemain semasa dalam permainan kerana ditakuti keadaan para penari akan jadi tidak terkawal. Para penonton juga tidak dibenarkan mencaci para pemain kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan musibah kepada para penonton. Semasa muzik dimainkan, para penonton tidak digalakkan menghayati alunan muzik yang dimainkan. Hal ini kerana para penonton dikhuatiri akan turut naik “syeikh” semasa persembahan.

        Anyaman kuda kepang juga mempunyai pantang larangnya tersendiri yang perlu dipatuhi. Selepas menari, kuda kepang yang digunakan semasa persembahan mestilah disimpan atau diletakkan di tempat yang elok dan khas untuk mereka sendiri. Jika anyaman kuda kepang tidak disimpan dan dijaga dengan elok akan menyebabkan roh kuda kepang atau semangat ghaib akan marah. Hal ini akan menyebabkan pertunjukkan yang akan datang tidak dapat dilakukan kerana roh kuda kepang dikatakan akan mengamuk dan merosakkan persembahan tersebut. Pantang larang inilah yang menjadikan setiap persembahan mempunyai keunikan mereka tersendiri.

ISU-ISU

       Persembahan kuda kepang merupakan sebuah persembahan yang menarik namun, terdapat tentangan kerana terdapat unsur-unsur khurafat seperti pemujaan yang bertentangan dengan akidah Islam. Hal ini menyebabkan masyarakat Melayu beragama Islam menolak untuk meceburkan diri dalam persembahan tarian kuda kepang. Hal ini kerana kepercayaan di dalam tarian kuda kepang boleh menggugat keimanan seseorang. Kesannya, masyarakat tidak lagi menyokong persembahan ini untuk dilakukan. Pendidikan terhadap agama juga menyebabkan pandangan mereka terhadap kuda kepang berubah kerana mengandungi unsur-unsur khurafat yang menyebabkan mereka mempersoalkan tentang tarian kuda kepang di dalam masyarakat Melayu.

        Selain itu, masyarakat pada masa kini lebih terpengaruh dengan budaya Barat kerana terdedah dengan modenisasi. Hal ini menyebabkan mereka lebih berfikiran terbuka. Mereka beranggapan bahawa tarian tradisional tidak lagi sesuai untuk dipersembahkan kerana sudah ketinggalan zaman. Hal ini menyebabkan masyarakat tidak lagi meminati persembahan tarian kuda kepang terutamanya golongan remaja kerana tidak mengikut trend masa kini. Masyarakat masa kini lebih tertarik dengan tarian moden yang lebih menarik. Hal ini menyebabkan bilangan kumpulan kuda kepang semakin berkurang kerana tidak ramai penglibatan masyarakat untuk mempelajari serta mengembangkan tarian kuda kepang ini.

SOLUSI

        Masyarakat pada hari ini perlulah mempertahankan tarian kuda kepang daripada hilang ditelan zaman dengan menceburkan diri dalam tarian ini. Hal ini kerana tarian tradisional ini merupakan adat masyarakat Melayu yang mengandungi unsur kebudayaan yang mendalam.  Namun begitu, perubahan perlu dilakukan di dalam tarian kuda kepang memandangkan terdapat unsur-unsur khurafat. Perubahan yang dilakukan seperti mengubah tarian kuda kepang tanpa melakukan sebarang pemujaan. Perubahan ini dapat menarik minat masyarakat terhadap persembahan kuda kepang kerana persembahan ini tidak lagi melibatkkan unsur-unsur khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam dan semata-mata untuk hiburan sahaja.

       Perkembangan dalam teknologi memudahkan masyarakat untuk mengakses pelbagai aplikasi media sosial dengan mudah. Oleh itu, media sosial merupakan satu platform yang sesuai untuk memperkenalkan tarian-tarian tradisional. Hal ini dapat membantu masyarakat untuk lebih mengenali dan mempratikkan tarian-tarian tradisional di rumah.  Pendedahan ini menyebabkan tarian tradisional kuda kepang tidak akan hilang daripada ditelan zaman dan dapat menarik minat masyarakat lain untuk meminati tarian kuda kepang ini.

REFLEKTIF

       Tarian kuda kepang masih lagi dimainkan di majlis-majlis keramaian tetapi pada masa kini persembahan ini kurang dimainkan kerana penari yang mahir semakin berkurang. Hal ini kerana ramai pemuda-pemuda yang kurang berminat untuk mempelajari tarian kuda kepang ini. Mereka beranggapan bahawa mempelajari tarian ini adalah lapuk dan tidak sesuai dengan trend masa kini. tarian ini memerlukan ketahan fizikal yang kuat menyebabkan mereka tidak berminat untuk memahiri tarian ini. Mereka juga beranggapan bahawa tarian mempunyai unsur-unsur syirik dan khurafat yang bertentangan dengan agama Islam. Mereka lebih gemar untuk mempelajari tarian yang popular pada masa kini berbanding dengan tarian tradisional yang ketinggalan zaman.

       Pada pendapat saya, persembahan ini boleh dilakukan sekiranya ianya tidak bertentangan dengan ajaran islam yang sebenar. Sekiranya tarian kuda kepang ini tidak diamalkan oleh generasi muda, kemungkinan besar tarian kebudayaan ini kan lupus ditelan zaman. Tarian kuda kepang ini menjadi sesebuah kaum istimewa kerana tarian ini menjadi lambang kebudayaan dan identiti sesebuah kaum. Setiap kebudayaan perlu dipelihara dan diamalkan supaya generasi akan datang tidak mengenali dan lupa kepada kebudayaan dan asal usul bangsa sendiri yang menjadi peneraju kepada generasi-generasi yang lain di Malaysia.

KESIMPULAN

       Tarian kuda kepang merupakan salah satu tarian tradisional yang popular di negeri Johor. Tarian ini merupakan tarian kebudayaan negeri Johor yang mempunyai pelbagai unsur kebudayaan yang diterapkan di dalam tarian tersebut. Tarian kuda kepang bukan sahaja alat hiburan tetapi juga penting dalam memberi gambaran tentang nilai, norma, kebaikan dan budaya yang dipersembahkan dalam gerakan tarian kuda kepang. Walau bagaimanapun, pandangan masyarakat hari ini telah berubah terhadap tarian kuda kepang kerana pengaruh barat yang lebih kepada unsur kemodenan menyebabkan mereka lebih tertarik dengan tarian-tarian moden yang lebih sesuai dengan budaya hidup masyarakat moden. Oleh hal yang demikian, tarian kuda kepang perlulah dipertahankan  untuk generasi masa depan kita agar rakyat Malaysia dapat mengetahui dan mempelajari lebih lanjut mengenai budaya kita dan dapat melakukan persembahan kuda kepang di seluruh Malaysia.

RUJUKAN

Batrisyia, A. (2019). SEJARAH KUDA KEPANG. WIX. Retrieved from https://permasupsi.wixsite.com/permasupsi/post/sejarah-kuda-kepang

Musliana, I. (2016, September 16). KENAPA KALAU KUDA KEPANG JE BOLEH SAMPAI ‘KENA RASUK’? ASAL-USUL DAN DAN KEPERCAYAAN MISTIK. Soscili.my. Retrieved from https://soscili.my/sejarah-asal-usul-kuda-kepang-mistik/

Sobry, A. A. (2015, April 25). Kuda Kepang dah 'jinak'. BHonline. Retrieved from https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/04/49567/kuda-kepang-dah-jinak

Umairah. (2010). CARA, FUNGSI DAN BILANGAN PENARI. Kuda Kepang. Retrieved from http://kudakepangsmt2252.blogspot.com/2010/08/cara-kuda-kepang-dimainkan-bilangan.html

Umairah. (2010). PANTANG LARANG KUDA KEPANG. Kuda Kepang. Retrieved from http://kudakepangsmt2252.blogspot.com/2010/08/pantang-larang-kuda-kepang.html

 

 

No comments:

Post a Comment

KUDA KEPANG

  PENGENALAN        Setiap negara di dunia mempunyai tarian tradisional mereka sendiri. Tarian tradisional ini menjadi satu simbol untuk m...